Farmaseutikal Halal: Disebalik Tuntutan Agama

February 20, 2020 0 Comments

Keberadaan sektor farmaseutikal halal dewasa ini merupakan satu petanda jelas kepada kemunculan sebuah era baru bagi pengguna dan pengeluar produk-produk kesihatan.

Dengan pasaran halal semakin mendapat tempat terutama dari kalangan pengguna bukan Muslim, halal yang sering dikaitkan dengan penggunaan beretika dan nilai-nilai murni yang lain, kini seperti suatu sinar yang baru dalam industri farmaseutikal dunia yang dilihat semakin malap.

Kesan halal, yang dilihat merangkumi konsep-konsep asas seperti kebertanggungjawaban sosial, pengkhalifahan manusia di muka bumi, keadilan dan kesaksamaan sosio dan ekonomi, isu-isu kebajikan haiwan serta pelaburan beretika, dilihat mampu memberi suatu lapisan perlindungan kualiti bagi industri yang lumayan ini.

Di Malaysia, produk-produk farmaseutikal halal bukan hanya perlu mematuhi peraturan-peraturan Amalan Perkilangan Baik (atau Good Manufacturing Practices, GMP) yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia, mereka juga perlu memenuhi pelbagai pra-syarat pensijilan halal.

Keadaan ini secara tidak langsung telah menetapkan satu penanda aras yang lebih tinggi bagi kualiti bagi produk-produk farmaseutikal halal berbanding produk biasa.

Piawaian GMP, yang menjadi suatu kemestian bagi semua pengeluar produk tradisional dan farmaseutikal, dilihat mampu menjamin produk-produk yang dihasilkan adalah selamat, berkualiti dan berkesan.

Peraturan yang ketat bagi mendapatkan sijil halal juga membentuk sebuah lagi lapisan perlindungan kualiti, memandangkan kesemua bahan mentah perlu disaring, didokumenkan dan disahkan tulen sepanjang proses penghasilan produk tersebut.

Untuk jaminan kualiti produk yang lebih jitu, para pengguna disaran memilih hanya produk-produk yang berdaftar dan mempunyai logo halal Malaysia dari JAKIM, atau mana-mana badan persijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM.

Perlindungan Tambahan Farmaseutikal Halal

Makanan halal adalah makanan yang dibenarkan dalam Islam; manakala makanan yang tak dibenarkan atau dilarang diklasifikasikan sebagai haram.

Antara salah anggapan yang biasa dalam isu makanan halal ialah, sama ada ianya mengandungi khinzir ataupun alkohol.

Persijilan halal sebenarnya melangkaui elemen-elemen khinzir dan alkohol semata-mata, memandangkan ianya turut melibatkan proses saringan yang ketat di sepanjang proses pengilangan, dari sumber hinggalah ke pengedaran.

Bahan mentah yang digunakan juga mestilah bebas dari sebarang bahagian atau unsur dari haiwan yang tidak disembelih mengikut ketetapan Syarak, atau najis dan apa-apa bahan yang tidak suci mengikut Syariah.

Bahan-bahan yang dikategorikan sebagai najis termasuk:

      • Sebarang bahagian atau bahan yang terbit dari anjing dan khinzir atau haiwan-haiwan yang seumpama dengannya;
      • Produk yang telah tercemar atau yang telah bersentuhan secara langsung dengan bahan-bahan yang tidak halal;
      • Cecair dari terhasil dari manusia atau haiwan seperti air kencing, darah, muntah, nanah, uri, najis atau air mani;
      • Bangkai dan haiwan yang tidak disembelih mengikut undang-undang Syariah; dan
      • Khamar (alkohol yang telah melalui proses fermentasi).

Setiap produk farmaseutikal halal juga diproses dan dihasilkan secara bersih dan suci mengikut peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa bertauliah.

Selain itu, produk-produk halal juga perlu diasingkan dari yang tidak halal, bukan hanya dalam proses penyediaan, bahkan di setiap fasa pengeluaran, termasuk pemprosesan, pengendalian, pembungkusan, penyimpanan dan pengedaran.

Akhir sekali, para pengeluar juga perlu memastikan yang mereka mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan pada setiap masa.

Penggunaan Alkohol Yang Dibenarkan Dalam Farmaseutikal Halal

Kebanyakkan produk farmaseutikal sememangnya mempunyai kandungan alkohol yang sedikit, antara 10-15%, bagi membantu bahan-bahan aktif yang digunakan untuk larut dalam badan apabila ditelan.

Penggunaan alkohol sebagai exsipien dalam industri farmaseutikal halal menepati had yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. Bahan mentah juga perlu diperbuat dari bahan-bahan sintetik dan bukan khamar.

Tahukah Anda?

Walaupun agama Islam melarang penggunaan ubat-ubatan yang mengandungi alkohol (khamar), gelatin atau sebarang bahan yang mengandungi khinzir, penggunaan ubat-ubatan yang tak halal masih dibolehkan dalam keadaan kecemasan, di mana pengguna tiada pilihan lain atau dalam situasi yang mengancam nyawa.

Sila rujuk Panduan Penggunaan Ubat-Ubatan Yang Mengandungi Unsur Tidak Halal Kepada Pesakit Muslim oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai halal dan farmaseutikal halal, sila layari: www.halal.gov.mywww.facebook.com/HabHalalJakimwww.hdcglobal.comwww.halal4pharma.com.

Photo by Volodymyr Hryshchenko on Unsplash.